Jalan Belimbing 8 KU/10 ,Meru,Klang ,Selangor Darul Ehsan

“Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya.” -(Hadis riwayat al-Bukhari).

Khamis, 25 Mac 2010

Asuhlah Anak Kita Tentang Hidup Berjiran

PEPATAH Melayu ada menyebut, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Tafsiran pepatah ini merujuk kepada pentingnya hidup sekumpulan manusia bertunjangkan nilai kemuafakatan, kesefahaman dan tolak ansur.

Nilai muafakat itu penting dalam konteks hidup berjiran. Walaupun sempadan rumah dipisahkan dengan pagar besi mahupun batu konkrit, namun perkongsian nilai hidup harmoni tetap kukuh jika wujudnya sifat mengambil berat, hormat-menghormati dan menghargai hak sesama jiran tetangga.

Keharmonian hidup berjiran sangat dititikberatkan Islam. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga dekat, jiran tetangga jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar, dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang sombong takbur dan membanggakan diri.” (Surah an-Nisa’, ayat 36).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Mengambil berat hidup berjiran sebenarnya perlu dipupuk sejak daripada kanak-kanak. Pada usia inilah anak mudah menyerap sebarang bentuk pendidikan diberi dan menerapkannya dalam kehidupan seharian, ibarat ‘buluh yang dilentur dengan mudah dari rebungnya’.

Anak perlu dididik akan siapa dan apa pentingnya jiran sebelah-menyebelah dalam kehidupan. Hidup berjiran saling tak ubah seperti ‘aur dengan tebing’, saling perlu-memerlukan. Mana perkara silap, ditegur secara berhemah dan berhikmah, mana yang betul, dijadikan panduan dan pedoman semoga kehidupan sentiasa di bawah keredaan Allah.

Anak juga perlu tahu bahawa jiran itu terbahagi kepada beberapa kategori yang mempunyai hak dan keutamaannya tersendiri. Kategori pertama adalah jiran bukan Islam yang mempunyai satu hak, iaitu hak berjiran.

Kategori kedua adalah jiran beragama Islam yang mempunyai dua hak, iaitu hak jiran dan hak Islam. Manakala kategori ketiga pula adalah jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan, yang memiliki tiga hak, iaitu hak jiran, hak Islam dan hak kekeluargaan.

Perbezaan hak ini perlu dijelaskan kepada anak lantaran kepentingannya dalam menyatupadukan komuniti kejiranan setempat tanpa mengabaikan walau satu pun hak mana-mana pihak.

Sejak usia kecil lagi, jika anak faham akan kepentingan menjaga hak dan keharmonian sesama jiran tetangga, diyakini bahawa mereka akan terus memupuk dan menjulang nilai murni hidup bermasyarakat seperti mana disyariatkan Islam.

Untuk itu, ada banyak perkara yang boleh kita sebagai ibu bapa terapkan kepada anak berkaitan erti kemanisan hidup berjiran antaranya:

Menggalakkan anak mengamalkan sikap hormat, merendah diri, tidak sombong serta menunjukkan tingkah laku dan pertuturan mulia terhadap jiran tetangga. Ia selaras hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah seseorang itu berperi laku baik terhadap jiran tetangganya.” (Mutafaqun ’alaih)
Menegah sikap buruk sangka, menimbulkan fitnah, mengumpat serta mencerca jiran tetangga. Sikap buruk seperti ini berupaya meleraikan ikatan silaturahim sesama jiran. Anak perlu diajar jangan terlalu mudah mempercayai, malah menyebarkan khabar berita yang tidak menyenangkan berkaitan dengan jiran demi menjaga maruah dan keaiban mereka.
Memupuk anak mengamalkan budaya bertanya khabar dan menziarahi jiran tetangga terutama jika mereka sakit, ditimpa kesusahan atau menghadapi musibah. Adab berziarah perlu difahami kerana berdasarkan ajaran Islam ada masanya tidak sesuai untuk kita bertandang ke rumah jiran.
Mendidik anak ‘ringan tulang’ membantu jiran yang memerlukan sebarang pertolongan. Anak perlu tahu bahawa pertolongan diberikan bukan sekadar bersifat material dan fizikal, bahkan sokongan moral turut berupaya membantu jiran mengharungi dugaan dan kesukaran yang diuji Allah.
Menegah anak mengganggu dan merosakkan hak jiran. Misalnya, membuat bising yang boleh mengganggu ketenteraman, membuang sampah di halaman rumah jiran atau mengambil sesuatu milik mereka tanpa keizinan.
Menggalakkan anak menyertai program komuniti setempat seperti solat berjemaah di masjid, majlis agama seperti bertadarus dan bertahlil, kenduri atau gotong-royong. Dengan cara itu barulah anak faham jiran tetangga adalah pihak paling sesuai untuk meminta bantuan.
Jika berlaku masalah atau percanggahan pendapat sesama jiran tetangga, anak perlu dilatih untuk melaksanakan kaedah penyelesaian yang tepat, mengikut syariat Islam serta tidak membesarkan perkara itu hingga menjadi kronik.
Sifat berdendam juga perlu dibuang jauh-jauh di kalangan anak demi menjaga kemurnian perhubungan sesama jiran, malah anak juga perlu menyuburkan sifat bertolak ansur, mengalah dan mudah memaafkan apa juga kesalahan jiran terhadap mereka.
Menggalakkan anak bersedekah apa saja termampu kepada jiran tetangga yang memerlukan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih mulia daripada yang menerima dan akan diberikan ganjaran sebaiknya oleh Allah.
Ibu bapa sendiri perlu menunjukkan contoh teladan sebaiknya kepada anak dalam hal kehidupan berjiran. Jika kita sendiri mengadu domba, bermusuhan dan mengasingkan diri daripada bertemu mesra dengan jiran, tidak hairanlah jika anak kita turut sama berbuat sedemikian.

Berilah pedoman kepada anak untuk memuliakan jiran tetangga seumpama mereka itu adalah sebahagian daripada keluarga terdekat yang sangat kita kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Renungan

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Qur'an: Al-Baqarah, 188)
Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:Rasulullah saw. bersabda:
Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbicara yang baik atau diam. Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia memuliakan tetangganya. Dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia memuliakan tamunya.
Firman Allah:يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ
الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ
أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ
إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Al-Hujuraat: 12)

Tazkirah

Kelebihan Tahajud

Jika dilakukan solat Tahajud ini dengan cara istiqamah maka Allah s.w.t akan memberi 3 ganjaran;
1. Dapat lidah yang hikmah.
2. Diangkat kedarjat wali.
3. Lepas dari kesakitan ketika sakaratul maut
Selain itu juga;
1. * Doa-doa akan diperkenankan. *
2 rakaat tahajud lebih baik dari dunia dan seisinya
3. * Allah akan menunjukkan mahligai disyurga semasa sakaratul maut mendapat lampu atau cahaya dalam kubur
4. * Dapat naik kuda emas bagi suami isteri yang saling membangunkan antara satu sama lain untuk tahajud
5. * Jika kita selalu panggil orang ke masjid maka diwaktu malam Allah akan panggil kita untuk tahajud
6. * Mendekatkan kita dengan Allah dan menjauhkan kita daripada membuat dosa


Pemimpin Masakini, Contohi Khalifah Umar bin Abdul Aziz
Posted on Tuesday, December 22 @ 04:10:27 PST Dilulus untuk paparan oleh AbuJihad Oleh: nass"
1. Yunus bin Abi Syabib berkata:“Aku melihat Umar bin Abdul Aziz tawaf di sekeliling ka’bah dalam keadaan tali pinggangnya tenggelam dalam lipatan perutnya kerna gemuknya. Ini sebelum beliau menjadi khalifah. Setelah mana beliau menjadi Khalifah, kalau aku hendak aku boleh menghitung bilangan tulang rusuknya tanpa aku menyentuhnya , pasti aku boleh melakukannya."
Komen: Ini kerana kepimpinan bukan kemuliaan tetapi suatu amanah yang berat. Ini benar2 dihayati oleh Umar sehingga jawatan menyebabkan dia kurus. Bukannya seperti kebanyakan pimpinan sekarang yang menyebabkan jawatan pimpinan menjadi rebutan dan jambatan untuk menuju kemewahan. Kita lihat bagaimana putera raja yang hidupnya semakin lama semakin mewah. Berikut potongan berita tersebut:"Sebuah pesawat gergasi Airbus A380 yang berharga £300 juta (RM1.68 bilion) direka khas untuk seorang kerabat diraja dari Asia Barat, lapor sebuah akhbar.Namun, apabila pengubahsuaian pesawat itu siap tiga tahun lagi, ia bakal menjadi jet peribadi terbesar di dunia."
2.Khalifah Abu Ja’far bin Mansur telah bertanya kepada anak Umar bin Abdul Aziz “Berapakah banyak wang simpanan Umar ketika beliau mula-mula memegang jawatan khalifah?”
Anaknya menjawab “40 ribu dinar (wang emas).” Abu Ja’far bertanya lagi “Berapa pula ketika beliau wafat?”Anaknya menjawab “ 4 ratus dinar, kalau dia panjang umur lagi pastilah semakin berkurangan.”Umar memegang jawatan Khalifah bukannya untuk menghimpun duit. Ini kerana keseronokan menghimpun duit boleh melalaikan seorang dari menjalankan kewajipan agamanya.
Firman Allah swt:ألهاكم التكاثر . حتى زرتم المقاب“Perbuatan kamu yang saling berbangga dengan harta itu melalaikan kamu dari ketaatan dan bersedia untuk keakhirat.sehinggalah kamu mati dan ditanam di kubur.” (1-2 At-Takasur)
Kita lihat bagaimana pemimpin di zaman sekarang, walaupun gaji sudah banyak tetapi ia tidak membuatkan pemimpin itu puas. Lihat sahaja seorang menteri di Britain yang meminta perbelanjaan yang melampau dengan mengorbankan duit rakyat.
3. Maslamah bin Malik berkata:Aku telah menziarahi Umar bin Abdul Aziz ketika beliau sakit dan aku dapati bajunya kotor. Aku berkata kepada isterinnya Fatimah “Hai Fatimah basuhlah baju Amirul Mukminin.” Jawab Fatimah “Aku basuh insyaAllah.”Apabila aku menziarahinya semula aku dapati bajunya masih lagi kotor. Aku pun berkata “Hai Fatimah, bukankah aku telah menyuruhmu membasuh baju Amirul Mukminin. Sesungguhnya manusia menziarahinya.” Fatimah menjawab “Demi Allah, bajunya hanya ada satu.”Komen: Beliau hanya mempunyai sehelai baju. Namun pemimpin sekarang bertukar kenderaan seperti tukar baju. Rakyat menderita tidak ada rumah dan perlindungan tetapi mereka sibuk bincang pasal hendak tukar kenderaan. Baru sahaja naik jadi exco sudah tukar kereta dan rumah mewah. Pemimpin yang jahat pada zaman ini sibuk dengan makan duit rakyat, adapun pemimpin yang dianggap baik sibuk dengan masalah ekonomi dan menjadikannya masalah utama. Kurang sibuk tentang hukum Allah yg diabaikan, kemaksiatan berleluasa, kejahilan rakyat terhadap agama dan perkara yang berkait dengan pembangunan ruh.
4. Amru bin Muhajir telah menyebut:“Sesungguhnya Umar bin Abdul Aziz menyalakan pelita kerajaan hanya untuk urusan orang-orang Islam. Apabila telah selesai urusan tersebut beliau akan memadamnya dan menggunakan pelitanya sendiri.”Komen: Penyalahgunaan wang rakyat terjadi dimana-mana. Saya memperingatkan diri saya dan pemegang amanah rakyat walaupun dalam lingkungan yg sedikit supaya tidak menyalahgunakan amanah. Lihat orang yang yang telah mati dalam peperangan. Para sahabat menyatakan dia syahid. Namun Rasulullah saw bersabda:كلا إني رأيته في النار في بردة غلها“Dia tidak sama sekali mendapat pahala syahid. Sesungguhnya aku melihatnya berada di dalam neraka kerana sehelai selimut yang dia khianati.” (Hr Muslim)
5. Suatu hari Umar bin Abdul Aziz berkata kepada isterinya “Wahai Fatimah, adakah engkau mempunyai duit dirham(perak) untuk aku membeli anggur?” Isterinya menjawab “Tidak ada.” Umar bertanya lagi “Engkau ada duit fulus (tembaga)?” Fatimah menjawab “Tidak ada.” Fatimah mengadap suaminya , seraya berkata “Engkau adalah amirul mukminin tetapi tidak ada duit langsung untuk membeli anggur.” Umar menjawab:هذا أهون علينا معالجة الأغلال غدا في جهنم“Perkara ini lebih mudah untuk kita hadapi daripada menghadapi belenggu di neraka jahannam pada hari kiamat kelak.”Komen: Umar tidak ada elaun makanan dan sebagainya. Tetapi kita lihat bagaimana satu ketika bagaimana elaun hari raya untuk menteri, exco dan wakil rakyat bernilai 250,000 setahun di sebuah negeri di Malaysia. Umar hendak menjamah anggur pun tiada duit. Pemimpin sekarang segala2nya ada elaun. Ini adalah penyalah gunaan wang rakyat. Wang inilah yang boleh menghancurkan bangsa disebabkan perebutan, rasuah, kes jenayah dan sebagainya. Semuanya berpunca dari wang. Nabi saw bersabda:لكل أمة فتنة وفتنة أمتي المال“Setiap ummat mempunyai fitnah yang boleh merosakkan mereka. Fitnah umatku adalah harta.” Hr TirmiziYa Allah selamatkan kami dari fitnah hartaKesimpulan: Dizaman pemerintahan beliaulah sejarah Islam tercipta, tidak seorang pun yang layak menerima zakat kerana rakyatnya sudah senang belaka.Mampukah pemimpin pada zaman ini mencontohi beliau??