Jalan Belimbing 8 KU/10 ,Meru,Klang ,Selangor Darul Ehsan

“Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya.” -(Hadis riwayat al-Bukhari).

Rabu, 23 Disember 2009

Poligami: Antara Hukum,Adat Dan Emosi

.Polemik antara hukum agama, adat dan emosi manusia nyata memberi kekeliruan kepada sebahagian umat Islam, apatah lagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan Islam.Apakah pantas hukum yang dibenarkan Allah boleh dicantas oleh mulut manusia hanya sekadar mahu membela atau menjaga hak asasi wanita?Apakah buruk sangat poligami sehingga wanita begitu 'jijik' dan meluat apabila ada golongan lelaki menyebut istilah itu?Keharusan poligami jelas terkandung dalam al-Quran tetapi segelintir umat Islam sukar menerimanya sehingga menganggap ia 'jerat kehidupan'.
Islam satu-satunya agama di bumi yang membenarkan poligami secara bersistem manakala agama dan fahaman lain tidak, malah masyarakat bukan Islam melihatnya sebagai menindas golongan wanita.Tetapi, hairanlah apabila membabitkan aktiviti persundalan, menyimpan wanita dan gejala sosial, ia seperti satu restu.
Poligami adalah perkataan Greek (http://en.wikipedia.org/wiki/Polygamy), merujuk kepada perkahwinan seorang lelaki dengan lebih seorang isteri dan dalam Islam, ia dibenarkan sehingga empat isteri dalam suatu masa."Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil, maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (kahwinilah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat supaya kamu tidak melakukan kezaliman." (Al-Quran, surah an-Nisa': Ayat 3)
Pada zaman Jahiliyah, poligami berlaku tanpa batasan dan ketika itu lelaki mempunyai ramai isteri, malah ada yang mempunyai ratusan isteri. "Apabila Ghailan ats-Tsaqafi memeluk Islam, dia mempunyai 10 isteri. Maka Nabi s.a.w berkata kepadanya: Pilihlah dari isteri-isterimu itu empat orang saja dan ceraikanlah yang selebihnya itu." Riwayat ini dikeluarkan oleh Imam Syafie, Imam Ahmad, Tarmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Abu Syaibah, Daruqutni dan Baihaqi, seperti diterangkan dalam kitab Halal dan Haram Dalam Islam, karya Dr Yusuf al-Qardawi.
Pihak yang membantah poligami perlu faham, ia hukum agama. Justeru, apabila berbicara atau memberi pendapat, mereka perlu berhati-hati.Walaupun Islam membenarkan poligami, bukanlah bermakna ia boleh diamalkan sesuka hati, sehingga mengakibatkan kezaliman di pihak wanita.
Al-Qardawi dalam kitab terbabit menjelaskan, syarat yang ditetapkan Islam mengenai poligami ialah berlaku adil terhadap dua isterinya atau lebih dalam makan minum, pakaian, rumah, tempat tidur dan nafkahnya."Barangsiapa yang tidak yakin dirinya dapat menunaikan hak-hak itu, haramlah baginya berkahwin lebih dari seorang isteri," katanya.
Menurut seorang ulama Amerika Utara, Syeikh Muhammad Nur Abdullah, poligami dibenarkan Islam dan bukannya untuk disalah guna."Ia hanya dibenarkan kepada sesiapa yang mampu melayani semua isterinya dengan adil dan saksama," katanya melalui laman Islamonline.Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya: "Barangsiapa yang mempunyai dua orang isteri, lalu dia condong kepada yang satu dari yang lain, nanti dia datang di hari kiamat dengan menyeret sebelah lambungannya dalam keadaan senget atau berat sebelah." (Riwayat Ashabussunan, Ibnu Hibban dan Hakim)Condong sebelah yang diancam dalam hadis itu ialah disebabkan keremehan terhadap hak isteri-isteri, bukannya kerana kecenderungan hati kepada mereka kerana kecenderungan hati tidak dikategorikan dalam keadilan.Al-Qardawi berkata, di antara lelaki ada yang kuat keinginannya untuk mendapatkan keturunan tetapi dia dikurniakan seorang isteri yang tidak dapat melahirkan anak kerana penyakit atau mandul (tidak dapat melahirkan anak).Justeru, lebih baik si suami berkahwin lagi kepada seorang wanita yang bakal memberikannya zuriat supaya keturunannya kekal tetapi harus mengekalkan akad isteri pertama dan menjamin haknya."Ada pula lelaki yang kuat keinginan gharizahnya, bergejolak nafsu seksnya, akan tetapi dia dikurniai seorang isteri yang lemah nafsunya atau menghidap penyakit atau datang haid untuk tempoh yang panjang."Bagaimanapun, suaminya tidak sanggup menanggung nafsu untuk bersama isterinya, apakah tidak wajar dia berkahwin dengan seorang wanita yang halal baginya daripada dia meraba wanita yang jalang dan haram buatnya," katanya.Menurutnya, ada ketika bilangan wanita lebih ramai daripada lelaki, seperti selepas perang dan dari itu timbul maslahat masyarakat dan wanita sendiri agar mereka lebih baik dimadukan daripada hidup tanpa kasih sayang suami.
Penceramah bebas, Ahmad Shukri Yusof, berkata masyarakat Islam jangan menolak keharusan poligami menggunakan emosi kerana ia soal hukum."Soal hukum tidak perlu dibincangkan dan dipolemikkan apatah lagi membabitkan emosi."Kita harus membincangkan bagaimana untuk berlaku adil, bukannya hanya pandai mengatakan poligami itu tidak adil," katanya.Bagaimanapun, beliau berpendapat tidak perlu menubuhkan kelab untuk menggalakkan poligami.Amalan poligami adalah ubat bagi menangani masalah umat manusia. Oleh kerana kebaikan itu, Islam memutuskan ia suci."Dan siapa lagi yang hukumnya lebih baik daripada hukum Allah, bagi kaum yang menyakini." (Al-Quran, surah al-Maidah:50)Tetapi peraturan suci lagi baik inilah yang ditolak oleh Barat dan konconya, sehingga ia kelihatan janggal untuk bertapak di dalam masyarakat Islam sendiri, manakala norma yang bukan-bukan mendapat tempat pula.Poligami dilarang di sisi undang-undang di sesetengah negara Muslim yang tidak mengamalkan undang-undang Islam dalam peraturan perkahwinan, seperti Azerbaijan, Bosnia, Tunisia dan Turki (http://en.wikipedia.org/wiki/Polygamy).
Menurut sumber itu, dalam dunia moden Islam, amalan poligami lazimnya diamalkan di negara yang mengamalkan ajaran Islam sejati seperti Arab Saudi, Timur dan Barat Afrika seperti di Sudan yang diberikan galakan oleh presiden kerana tingginya populasi wanita."Di antara 22 negara ahli Liga Arab, Tunisia melarang poligami. Bagaimanapun, ia tidak dipersetujui kebanyakan negara Arab yang menerima pengaruh barat dan sekular seperti Syria, Mesir, Morocco dan Lubnan."Menurut Ahli Majlis Fiqah Amerika Utara, Sheikh Muhamad al-Hanooti, realitinya susah untuk mendapati seorang daripada 10,000 Muslim yang berkahwin lebih daripada seorang isteri."Dalam masyarakat bukan Islam, lebih daripada 65 peratus lelaki yang berkahwin mempunyai hubungan dengan lebih dua, tiga dan empat wanita, bahkan 45 peratus wanitanya mengadakan hubungan di luar perkahwinan. "Mereka menerima perzinaan, tetapi tidak menerima alternatif untuk mengangkat martabat manusia melalui poligami."Di Malaysia, menurut portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, dalam undang-undang keluarga Islam, poligami dibenarkan dengan syarat suami hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Renungan

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Qur'an: Al-Baqarah, 188)
Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:Rasulullah saw. bersabda:
Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbicara yang baik atau diam. Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia memuliakan tetangganya. Dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia memuliakan tamunya.
Firman Allah:يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ
الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ
أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ
إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Al-Hujuraat: 12)

Tazkirah

Kelebihan Tahajud

Jika dilakukan solat Tahajud ini dengan cara istiqamah maka Allah s.w.t akan memberi 3 ganjaran;
1. Dapat lidah yang hikmah.
2. Diangkat kedarjat wali.
3. Lepas dari kesakitan ketika sakaratul maut
Selain itu juga;
1. * Doa-doa akan diperkenankan. *
2 rakaat tahajud lebih baik dari dunia dan seisinya
3. * Allah akan menunjukkan mahligai disyurga semasa sakaratul maut mendapat lampu atau cahaya dalam kubur
4. * Dapat naik kuda emas bagi suami isteri yang saling membangunkan antara satu sama lain untuk tahajud
5. * Jika kita selalu panggil orang ke masjid maka diwaktu malam Allah akan panggil kita untuk tahajud
6. * Mendekatkan kita dengan Allah dan menjauhkan kita daripada membuat dosa


Pemimpin Masakini, Contohi Khalifah Umar bin Abdul Aziz
Posted on Tuesday, December 22 @ 04:10:27 PST Dilulus untuk paparan oleh AbuJihad Oleh: nass"
1. Yunus bin Abi Syabib berkata:“Aku melihat Umar bin Abdul Aziz tawaf di sekeliling ka’bah dalam keadaan tali pinggangnya tenggelam dalam lipatan perutnya kerna gemuknya. Ini sebelum beliau menjadi khalifah. Setelah mana beliau menjadi Khalifah, kalau aku hendak aku boleh menghitung bilangan tulang rusuknya tanpa aku menyentuhnya , pasti aku boleh melakukannya."
Komen: Ini kerana kepimpinan bukan kemuliaan tetapi suatu amanah yang berat. Ini benar2 dihayati oleh Umar sehingga jawatan menyebabkan dia kurus. Bukannya seperti kebanyakan pimpinan sekarang yang menyebabkan jawatan pimpinan menjadi rebutan dan jambatan untuk menuju kemewahan. Kita lihat bagaimana putera raja yang hidupnya semakin lama semakin mewah. Berikut potongan berita tersebut:"Sebuah pesawat gergasi Airbus A380 yang berharga £300 juta (RM1.68 bilion) direka khas untuk seorang kerabat diraja dari Asia Barat, lapor sebuah akhbar.Namun, apabila pengubahsuaian pesawat itu siap tiga tahun lagi, ia bakal menjadi jet peribadi terbesar di dunia."
2.Khalifah Abu Ja’far bin Mansur telah bertanya kepada anak Umar bin Abdul Aziz “Berapakah banyak wang simpanan Umar ketika beliau mula-mula memegang jawatan khalifah?”
Anaknya menjawab “40 ribu dinar (wang emas).” Abu Ja’far bertanya lagi “Berapa pula ketika beliau wafat?”Anaknya menjawab “ 4 ratus dinar, kalau dia panjang umur lagi pastilah semakin berkurangan.”Umar memegang jawatan Khalifah bukannya untuk menghimpun duit. Ini kerana keseronokan menghimpun duit boleh melalaikan seorang dari menjalankan kewajipan agamanya.
Firman Allah swt:ألهاكم التكاثر . حتى زرتم المقاب“Perbuatan kamu yang saling berbangga dengan harta itu melalaikan kamu dari ketaatan dan bersedia untuk keakhirat.sehinggalah kamu mati dan ditanam di kubur.” (1-2 At-Takasur)
Kita lihat bagaimana pemimpin di zaman sekarang, walaupun gaji sudah banyak tetapi ia tidak membuatkan pemimpin itu puas. Lihat sahaja seorang menteri di Britain yang meminta perbelanjaan yang melampau dengan mengorbankan duit rakyat.
3. Maslamah bin Malik berkata:Aku telah menziarahi Umar bin Abdul Aziz ketika beliau sakit dan aku dapati bajunya kotor. Aku berkata kepada isterinnya Fatimah “Hai Fatimah basuhlah baju Amirul Mukminin.” Jawab Fatimah “Aku basuh insyaAllah.”Apabila aku menziarahinya semula aku dapati bajunya masih lagi kotor. Aku pun berkata “Hai Fatimah, bukankah aku telah menyuruhmu membasuh baju Amirul Mukminin. Sesungguhnya manusia menziarahinya.” Fatimah menjawab “Demi Allah, bajunya hanya ada satu.”Komen: Beliau hanya mempunyai sehelai baju. Namun pemimpin sekarang bertukar kenderaan seperti tukar baju. Rakyat menderita tidak ada rumah dan perlindungan tetapi mereka sibuk bincang pasal hendak tukar kenderaan. Baru sahaja naik jadi exco sudah tukar kereta dan rumah mewah. Pemimpin yang jahat pada zaman ini sibuk dengan makan duit rakyat, adapun pemimpin yang dianggap baik sibuk dengan masalah ekonomi dan menjadikannya masalah utama. Kurang sibuk tentang hukum Allah yg diabaikan, kemaksiatan berleluasa, kejahilan rakyat terhadap agama dan perkara yang berkait dengan pembangunan ruh.
4. Amru bin Muhajir telah menyebut:“Sesungguhnya Umar bin Abdul Aziz menyalakan pelita kerajaan hanya untuk urusan orang-orang Islam. Apabila telah selesai urusan tersebut beliau akan memadamnya dan menggunakan pelitanya sendiri.”Komen: Penyalahgunaan wang rakyat terjadi dimana-mana. Saya memperingatkan diri saya dan pemegang amanah rakyat walaupun dalam lingkungan yg sedikit supaya tidak menyalahgunakan amanah. Lihat orang yang yang telah mati dalam peperangan. Para sahabat menyatakan dia syahid. Namun Rasulullah saw bersabda:كلا إني رأيته في النار في بردة غلها“Dia tidak sama sekali mendapat pahala syahid. Sesungguhnya aku melihatnya berada di dalam neraka kerana sehelai selimut yang dia khianati.” (Hr Muslim)
5. Suatu hari Umar bin Abdul Aziz berkata kepada isterinya “Wahai Fatimah, adakah engkau mempunyai duit dirham(perak) untuk aku membeli anggur?” Isterinya menjawab “Tidak ada.” Umar bertanya lagi “Engkau ada duit fulus (tembaga)?” Fatimah menjawab “Tidak ada.” Fatimah mengadap suaminya , seraya berkata “Engkau adalah amirul mukminin tetapi tidak ada duit langsung untuk membeli anggur.” Umar menjawab:هذا أهون علينا معالجة الأغلال غدا في جهنم“Perkara ini lebih mudah untuk kita hadapi daripada menghadapi belenggu di neraka jahannam pada hari kiamat kelak.”Komen: Umar tidak ada elaun makanan dan sebagainya. Tetapi kita lihat bagaimana satu ketika bagaimana elaun hari raya untuk menteri, exco dan wakil rakyat bernilai 250,000 setahun di sebuah negeri di Malaysia. Umar hendak menjamah anggur pun tiada duit. Pemimpin sekarang segala2nya ada elaun. Ini adalah penyalah gunaan wang rakyat. Wang inilah yang boleh menghancurkan bangsa disebabkan perebutan, rasuah, kes jenayah dan sebagainya. Semuanya berpunca dari wang. Nabi saw bersabda:لكل أمة فتنة وفتنة أمتي المال“Setiap ummat mempunyai fitnah yang boleh merosakkan mereka. Fitnah umatku adalah harta.” Hr TirmiziYa Allah selamatkan kami dari fitnah hartaKesimpulan: Dizaman pemerintahan beliaulah sejarah Islam tercipta, tidak seorang pun yang layak menerima zakat kerana rakyatnya sudah senang belaka.Mampukah pemimpin pada zaman ini mencontohi beliau??